Bismillahirrahmanirrahim
Apa khabar sahabat-sahabiah sekaliannya, semoga rahmat Allah swt sentiasa memayungi perjalanan hidup kalian........
Dalam hadith ke-23 (Hadith 40- karangan Mustafa 'Abdul Rahman), Rasulullah saw menerangkan " Bahawa al-Quran itu hujjah atau dalil bagi engkau atau atas engkau." Ini bererti al-Quran adalah menjadi hujjah atau bukti yang kuat untuk menolong diri seseorang pada hari qiamat kelak atau untuk menyusahkan dan menyulitkannya hingga ditimpakan azab ke atasnya pada hari tersebut.
Al-Quran menjadi hujjah kebaikan bagi seseorang jika seseorang itu mengingati pengajarannya, dan hujjah atas kejahatannya jika ia tidak menurutinya. Demikian menurut yang difahamkan dari keterangan hadith (riwayat daripada 'Amru bin Syu'aib dari bapanya dari neneknya dari Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam.) yang bermaksud :
Bahawa pada hari qiamat kelak akan dirupakan al-Quran itu sebagai seorang lelaki yang mendakwakan orang yang menanggungnya (yang beriman kepadanya) tetapi dia menyalahi perintahnya. Ia (al-Quran) berkata dalam dakwaannya kepada Tuhannya, " Hai Tuhanku! Engkau tanggungkan aku kepadanya, maka sejahatlah ia yang menanggung aku : dilampauinya hukum-hukum aku, disia-siakannya segala fardhuku, dicerobohinya maksiatku dan ditinggalkannya taat kepadaku."
Demikianlah didakwanya orang itu. Akhirnya ditunggangkan ke atas hidungnya ke dalam api neraka.
Kemudian al-Quran memperkatakan kebaikan orang yang baik menurutinya. Ia berkata, " Hai Tuhanku! Bahawa orang yang menanggung aku ini adalah orang yang memelihara hukum-hukum aku, beramal dengan tuntutan-tuntutan aku, menjauhi maksiat kepadaku serta mengikuti aku..."
Demikianlah pengakuannya terhadap orang yang baik itu dan akhirnya dipakaikan kepadanya pakaian sutera dan mahkota diraja serta disogokkan kepadanya dengan segelas arak yang lazat tiada memabukkan.
Abu Musa al-Ash'ari berkata, " Sesungguhnya al-Quran itu adalah pahala bagi kamu dan dosa atas kamu. Maka ikutilah al-Quran dan janganlah al-Quran itu mengikuti kamu. Kerana barangsiapa mengikut al-Quran maka ia (al-Quran) meletakkan dia ke dalam taman syurga. Dan barangsiapa yang diikuti oleh al-Quran (al-Quran mengikutinya) maka dicampakkan dia ke dalam neraka."
Sahabat sahabiah sekaliannya, inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw dengan mengatakan al-Quran itu hujjah bagi engkau dan atas engkau.
Semoga kita semua mendapat pengajaran serta mengambil iktibar daripadanya.
-Wallahualam-
" Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang yang beriman diri-diri (jiwa-jiwa) mereka dan harta-harta mereka dengan (balasan) bahawa adalah bagi mereka syurga. (Iaitu hendaklah) mereka berperang pada jalan Allah lalu mereka membunuh dan terbunuh, sebagai satu perjanjian yang benar dalam Taurat dan Injil dan al-Quran. Kerana bukanlah tidak ada yang menyempurnakan dengan janjinya lebih daripada Allah? Kerana itu bergembiralah dengan perjanjian kamu yang kamu janjikan kepada-Nya. Kerana yang demikian, ialah kemenangan yang besar."
( Surah at-Taubah : Ayat 111 )
No comments:
Post a Comment